Ahad, 13 Februari 2011

Maulid Rasul vs Valentine Day Peringatan bagi si Muslim


Perhatian :

Penulisan ini ditujukan khas kepada sesiapa yang bernama Timah, Esah, Kiah,  Jusuf, Mamat, Dollah dan seangkatan dengannya. Nama-nama seperti John, Mark, Ashley, Samantha, Alex dan segerombolan dengannya tidak perlu bimbang kerana penulisan ini tidak ditujukan pada anda semua tetapi saya juga tidak membantah kalau anda ingin membaca dan mengomen tentang penulisan ini.


Cinta antara dua kekasih

Valentine’s Day atau Hari kekasih muncul lagi dan setiap kali menjelangnya 14 Februari akan timbullah banyak pedebatan antara yang alim dan yang jahil (jahil dalam beragama) .Tanggal ini jugalah yang menyebabkan segelintir daripada anda (muslim yang jahil) pening kepala memikirkan apa yang bakal di hadiahkan kepada orang-orang yang disayangi.

Apabila disebut perkataan kekasih, selalunya kita akan membayangkan satu pasangan yang yang romantis dan saling berpegangan tangan atau mungkin pasangan yang berkejaran di pantai (zaman Tok Pah dengan Broery). Tapi berapa ramaikah di kalangan anda-anda semua yang boleh mengaitkan perkataan kekasih itu dengan Allah dan RasulNya?


Tahun ini juga berkebetulan( dengan izin Allah) kita akan menyambut hari kebesaran Umat Islam iaitu Hari ulang tahun kelahiran junjungan kita Nabi Muhammad (S.A.W) sehari selepas Valentine’s Day. Siapakah Muhammad (S.A.W) itu di hati kita?

Nabi Muhammad (S.A.W) ialah kekasih Allah Taala yang diturunkan untuk  membimbing manusia ke arah mentauhidkan Allah. Bisikan pertama yang dibisikkan kepada kita sejurus kita lahir ialah bisikan tauhid dan cinta kepada Allah dan Rasul tetapi apabila kita sudah dewasa (dan sempurna akal) perkara sebaliknya terjadi. Kita lebih mengagungkan cara hidup yang lain berbanding cara hidup agama sendiri.

Valentine dan Kita (Muslim)

Di sini tak payahlah saya menyebut dan bercerita  tentang sejarah bagaimana Valentine’s Day tercipta. Saya pasti kebanyakkan antara kita sudah mengetahui sejarahnya. Kalau anda tidak tahu “google” saja di internet dan pasti anda akan menemukan berjuta-juta lemon mengenainya. Bukan saya tidak mahu bercerita cuma saya takut maklumat yang diberikan tidak tepat. Biarlah si arif saja yang bercerita dan saya yang “kecil” ini diam-diam sahaja. Wallahu’alam.

Baiklah, mari kita sebut perkataan Valentine.  Menyebut perkataan ini sahaja pun sudah menyebabkan bibir saya terjuih-juih untuk mendapatkan “pronounciation” yang betul. Ini belum lagi di “test” kepada pakcik makcik daripada Kelantan dan Utara. Kalau di “test” pada mereka agak-agak apalah bunyinya. Bukti ini sahaja sudah cukup menampakkan betapa jauhnya Valentine’s Day dengan kita. Bukanlah tujuan saya meremehkan pakcik dan makcik di kampung tetapi di sini saya ingin menyatakan betapa tidak cocoknya Valetine’s Day dengan budaya masyarakat kita.

Nabi Muhammad (S.A.W) bersabda : Bukanlah daripada golongan kami (umat Islam) siapa yang menyerupai (meniru) selain daripada (cara hidup) kami. Jangan kamu menyerupai orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian). (Riwayat Imam Tirmizi daripada Amru bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya).

Bahkan sabda Rasulullah (S.A.W) lagi maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia dikira termasuk ke dalam golongan itu. (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud dari Ibnu Umar r.a).

Dua hadith di atas sudah cukup membuktikan bahawa Islam tidak membenarkan umatnya mengikut cara hidup penganut agama lain. Cara hidup Umat Islam yang bersumberkan wahyu daripada Allah sudah cukup syumul dan hanya tinggal untuk dipraktikkan sahaja. Apakah kita merasa tidak cukup lagi dengan cara hidup islam yang sempurna ini sehingga (pandai-pandai) ingin menokok tambah dengan cara hidup yang bukan islami.

Kesimpulannya, saya mengajak diri saya dan anda-anda semua supaya lebih menghargai Islam the way of life dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh Allah.


Wallahu’alam… yang baik itu daripada Allah..:)






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...